Wednesday, 14 November 2012

Refleksi Makropengajaran



Kemahiran Set Induksi ialah cara guru memperkenalkan atau memulakan sesuatu pelajaran atau satu unit tertentu sesuatu pelajaran. Dalam set induksi, guru hendaklah menegaskan kepada muridnya tugasan yang akan dibuat.  Guru perlu mengekalkan dan menarik perhatian muridnya serta menggerakkan mereka untuk membuat aktiviti,  berfikir dan belajar.  Guru dapat memandu muridnya ke arah manakah tujuannya, membina perkaitan yang jelas dengan pengalaman sedia ada murid.
Menurut Carl Rogers (1994) pendidikan yang bermakna bagi seorang murid ialah pendidkan yang murid itu sendiri yang tentukan apa yang dia perlukan, merancang sendiri, belajar mengikut gayanya sendiri dan menilai sendiri hasil apa yang dipelajarinya.  Kaedah ini dinamakan kaedah berpusatkan murid.  Guru hanya bertindak sebagai fasilitator atau pembantu sahaja.
Set induksi dibuat dengan mengira kesediaan murid sebelum sesi pembelajaran bermula.  Kurangnya kesediaan murid ini boleh mengurangkan keberkesanan pengajaran kerana kurang menarik.  Apabila guru mengambil kira kesediaan murid, murid   dapat berfikir dan membuat perkaitan yang jelas tentang isi pelajaran seterusnya. Guru mestilah mengutamakan kesedian murid untuk belajar kerana tidak semua murid bersedia untuk belajar dari segi emosi dan fizikal sebagai langkah memotivasikan mereka.
Set induksi yang dipersembahkan amat menarik perhatian murid kerana nada suara guru adalah semula jadi, gerak-geri yang tidak kaku dan guru sentiasa memberi perhatian kepada seluruh kelas ketika sesi soal jawab.  Guru mengeluarkan suara yang lebih jelas dan tegas, gerak-geri yang sesuai dengan apa yang disebutkan dan memandang ke seluruh kelas ketika menyoal.
Menurut Lev Vygotsky (1978) pembelajaran dan perkembangan kognitif kanak-kanak adalah fenomena sosial dan budaya, iaitu akibat daripada interaksinya dengan ibu bapa, guru dan orang lain.  Pembelajaran seseorang murid lebih berkesan jika murid diberi bimbingan untuk melakukan tugasan pembelajaran yang lebih tinggi sedikit dari apa yang telah dikuasainya.  Dengan beransur-ansur pembelajaran murid berkembang.
Bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru tersebut memang sesuai kerana saiznya yang besar dapat menarik pandangan mata murid.  Imbasan gambar yang lama memeberi peluang murid berfikir dan menelitinya dengan sempurna.  Guru menampal gambar pada papan putih supaya murid dapat memandangnya berulangkali.  Lebih menarik apabila guru gunakan gambar yang berwarna-warni, terang dan jelas.  Perkataan atau tajuk pada gambar perlu dibesarkan supaya kesemua murid dapat membacanya.
Menurut Mc Alpine dan Wetson (1999) untuk memilih bahan sumber yang sesuai soalan-soalan berikut perlu ditanya, iaitu:
  • Adakah bahan ini menepati kurikulum?
  • Adakah isi pelajaran menepati kurikulum?
  • Adakah laras bahasanya jelas?
  • Adakah bahan ini menarik dan dapat memotivasikan murid?
  • Adakah bahan ini dapat menarik pelgelibatan murid?
  • Adakah bahan ini berkualiti?
  • Adakah bukti yang menunjukkan bahan ini berkesan?
Menurut Robert Gagne (1992) guru hendaklah membuat analisis tentang kesediaan dan gaya pembelajaran murid untuk menentukan pemilihan media dan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai.  Sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran dimulakan, guru sepatutnya membuat “ preview” bahan bantu belajar dan memastikan murid-murid mengambil bahagian dengan aktif dalam pembelajaran,
Guru mestilah menunjukkan kemesraan untuk menggerakkan murid sebagai membakar semangat dan kesungguhan terhadap apa yang dipelajari.  Jika guru menggunakan teknik bercerita secara ringkas satu per satu tentang gambar yang ditunjukkan, ini boleh merangsang naluri ingin tahu atau menarik minat murid untuk memulakan aktiviti.
Menurut Gagne (1985) pembelajaran berlaku sebagai satu proses yang berkembang secara berperingkat.  Justeru itu penyampaian guru perlu disusun secara berperingkat-peringkat.
Guru hendaklah menentukan hal bagi tugasan yang diberikan kepada muridnya dalam set induksi dan tidak perlu pergi begitu cepat ke langkah berikutnya atau bahagian pengembangan secara terburu-buru.  Guru perlu memaklumkan kepada murid berkenaan gambar yang akan ditunjukkan dan bincangkan satu persatu.  Tulis isi penting yang berkaitan dengan gambar secara ringkas pada papan putih atau membina peta minda.  Ini dapat membantu murid mengekalkan ingatan mereka tentang apa yang dipelajari hari itu.
Guru sepatutnya membuat perbandingan dan perbezaan pada setiap gambar, ini menjadikan set  induksi tidak menarik perhatian murid.  Adalah lebih bermakna jika guru mengaitkan situasi antara setiap gambar dengan isi pelajaran yang bakal berlaku selepas itu.
Menurut Ausubel, bahan subjek yang dipelajari kanak-kanak mestilah bermakna.  Pembelajaran bermana merupakan suatu proses mengaitkan informasi baru pada konsep-konsep relevan yang terdapat dalam struktur kognitif seseorang.  Struktur kognitif ialah fakta-fakta, konsep-konsep dan generalisasi yang yang telah dipelajari sebelum ini.
Set induksi berkenaan amat berkesan kerana amat sesuai kepada murid dari segi umur, kebolehan dan minat mereka walaupun ia kelihatan berkait dengan isi pelajaran dan objektif pengajaran.  Guru amat menitikberatkan pengetahuan sedia ada murid dan membimbing murid untuk belajar  daripada yang telah diketahui kepada yang akan diketahui kemudiannya.  Aktiviti dalam set induksi boleh dipelbagaikan, begitu juga kaedah dan teknik penyampaian guru.  Ini dapat menarik minat murid kepada pelajaran.
Menurut teori konstruktivisme yang dipelopori oleh John Dewey dan Jean Piaget, corak pemikiran murid bergantung kepada cara ia membina dan memberi makna kepada apa yang dipelajari atau dialaminya.  Pemikiran seseorang murid akan berkembang dan pengertiannya mengenai sesuatu diperluaskan apabila pengalamannya bertambah.  Pengertian atau makna yang diberi kepada sesuatu itu bergantung kepada persepsinya dan skima atau rangka pemikiran yang ada padanya.  Persepsi dan skima pemikiran ini akan disusun semula apabila murid terdedah kepada pengalaman, informasi dan perspektif baru.
Pergerakan guru di dalam kelas dapat menolong murid sentiasa bersedia dan memberi tumpuan kepada pelajaran.  Guru seboleh-bolehnya bergerak beberapa langkah di sepanjang bahagian hadapan atau antara barisan-barisan murid.  Jika pergerakan guru menunjukkan keresahan, murid akan rasa terganggu.  Oleh itu tunjukkan gerak-geri semula jadi guru dan bukannya dibuat-buat atau kaku.
Penggunaan pergerakan badan, tangan dan muka guru adalah semulajadi untuk menguatkan apa yang diperkatakan untuk menarik perhatian murid.  Pergerakan-pergerakan yang tidak perlu hendaklah dielakkan kerana ia menghalang tumpuan murid kepada pelajaran.
Merujuk domain psikomotor, kemahiran pergerakan anggota fizikal guru amat penting kerana pergerakan anggota dalam pengajaran dikuasai oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian.  Murid mempunyai persepsi yang mewakili kebolehan memerhati.  Melalui pergerakan guru yang dilihat, hasil pembelajaran dapat diingati oleh murid.
Menurut Dettmer (1997) hasil pembelajaran utama ialah melalui cara  guru menunjukkan tingkah laku membuat kontak (contac) terhadap murid seperti mata terhadap murid.  Di sini, kontak mata perupakan permulaan kepada perkenalan yang berakhir dengan berlakunya sesuatu komunikasi.  Melalui kontak mata ini murid memahami bahawa guru akan memulakan pengajarannya.
Merujuk domain sosial, hasil pembelajaran berlaku ketika cubaan murid itu berkomunikasi dengan guru, cuba memberi atau menerima mesej dan menyoal sesuatu.  Tingkah laku murid untuk bertanya itu menyebabkan guru turut berkomunikasi.
Guru seboleh-bolehnya mengubah intonasi, nada suara dan kelajuan suaranya sepaya dapat mengekalkan minat murid terhadap pelajaran.  Suara yang mendadak, sentiasa tinggi dan terlalu kuat pula boleh menimbulkan rasa bimbang di kalangan murid.  Sebaliknya suara yang mendatar, kurang kuat dan kurang bertenaga pula akan menimbulkan rasa bosan terhadap pelajaran.
      Guru sentiasa melibatkan murid secara lisan dengan lebih meluas ketika perbincangan berjalan.  Guru  mempeluang kepada murid untuk melibatkan diri secara lisan dalam pelajaran untuk memberikan rasa seronok ketika belajar. 
      Menurut Skinner (1974) terdapat tiga perkara untuk interaksi antara tingkahlaku dan persekitaran iaitu apa bila tingkahlaku berlaku, tingkahlaku itu sendiri adalah aktiviti pengukuhan.  Matlamatnya ialah untuk membentuk tingkahlaku murid yang boleh diperhatikan dan dinilai oleh guru.
Merujuk teori behaviorisme, guru hendaklah kerap kali menggunakan pujian seperti ‘bagus’ sebagai cara membina aliran psikologi untuk mengukuhkan pengetahuan murid dan menggalakkan murid belajar.  Oleh itu set induksi guru hendaklah lebih menarik dan terancang.
Selain dari itu guru perlu melibatkan pancaindera murid seperti penggunaan gambar yang lebih menarik atau model yang dapat menambahkan daya tarikan dan minat murid kepada pelajaran, juga dapat menambahkan kesan penyampaian maklumat kepada murid.  Ini bermakna guru yang memberi peluang kepada murid membuat aktiviti yang pelbagai akan menyeronokkan murid semasa mereka belajar.  Untuk itu matlamat guru hendaklah jelas tentang tujuan aktiviti set induksi yang digunakan dan ada perkaitan dengan isi pelajaran.
Guru hendaklah menjalankan variasi rangsangan dengan licin agar tidak mengganggu perjalanan pelajaran.  Sebelum pengajaran dimulakan, guru perlu merancang dengan teliti bahan bantu mengajar yang hendak digunakan.  Pengubahan variasi rangsangn boleh memberi rangsangan kepada tindak balas atau perubahan tingkah laku murid untuk dijadikan ukuran keberkesanan pengajaran guru.
Aspek peneguhan ketika proses pengajaran dan pembelajaran juga penting ditekankan oleh guru.  Ini kerana perlakuan murid boleh diubah dalam beberapa cara yang positif seperti guru memberi senyuman, angguk kepala, memuji murid kerana memberi jawapan yang baik, menggalakkan murid yang lambat belajar supaya terus tekun belajar atau menyatakan  syabas kepada murid yang menjawab dengan betul.  Peneguhan seperti ini boleh membina sikap yang positif di kalangan murid-murid.  Salah satu peneguhan yang sepatutnya guru ini gunakan ialah  peneguhan lisan seperti perkataan baik, ya, betul, itu jawapan yang tepat, bijak, bagus, kerja kamu sempurna, itu adalah cadangan yang baik dan lain-lain peneguhan yang positif.
      Menurut Rzchlin (1991) Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi.  Pengukuhan diberikan, pertamanya untuk memuaskan kehendak individu; keduanya, untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak.     
        Skinner (1938) membahagikanpengukuhan kepada dua jenis, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.  Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi. Peneguhan positif ini diberikan sebagai salah satu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti memberikan kata-kata pujian selepas murid melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan sebagainya.
Guru memberi peluang kepada murid melakukan aktiviti mengikut pengalaman sedia ada murid.  Guru membetulkan perlakuan murid dengan menggunakan kaedah tunjuk cara.  Murid yang melakukan kesilapan dibetulkan oleh guru dengan segera di samping menggalakkan murid memerhatikan aktiviti rakan-rakan di dalam kumpulan lain.
Guru juga memberi arahan yang jelas kepada murid dengan memastikan murid menumpukan perhatian ketika penerangan.  Guru memberi peluang kepada murid untuk mencuba sehingga mereka dapat melakukan aktiviti dengan betul. 

1 comments:

Unknown said...

Saya bersetuju dengan apa yang telah saudari bentangkan di atas mengenai set induksi.Satu maklumat yang dapat memberikan sumbangan kepada
guru-guru dalam menyediakan set induksi yang berkesan.Tahniah Bashiroh..

Post a Comment